Monday, March 25, 2013

Ulama Besar Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Meninggal Dunia

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ



Al Fatihah.....
Dukacita dimaklumkan Negara kehilangan ulama besar apabila Dr Muhammad Uthman El-Muhammady meninggal dunia di kediamannya di ISTAC,  IIUM KL Campus, Taman Duta di sini petang tadi.

Dr Muhammad Uthman  ialah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H pada 10 Februari 2005. Beliau juga adalah tokoh yang tidak asing khususnya dalam dunia intelektual Islam dan telah menghasilkan ratusan penulisan berkaitan ketamadunan Islam amnya.

Dr Uthman El Muhammady merupakan ulamak yang cukup dikagumi,
di kala Malaysia dicop dan dikatakan kononnya sebagai negara sekular dan negara kufar, Beliau antara insan mulia dan ulamak yang menentang tuduhan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut. Mereka ini disifatkan kufur nikmat dan 'buta di cahaya yang terang'.


Minat kajian beliau adalah di dalam:

Bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat
Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya
Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya


Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.




Sejarah Latar Belakang

Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class pada tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.


Pada tahun 1963, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969. Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.

Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan dikurniakan ijazah kehormat Doktor Falsafah (Ph.D), Universiti Utara Malaysia kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

Dilantik sebagai Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia Kuala Lumpur sejak 1995 hingga 2008. Kemudian dilantik semula hingga 2010.

Kini beliau adalah Felo Amat Utama Akademik ISTAC IIUM, dan ahli lembaga pemegang amanah Yayasan karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama UiTM.

Dr. Uthman juga adalah mantan Profesor Adjung Pengajian Islam Universiti Petronas.



Kehilangan Allahyarham Dr Muhammad Uthman memeranjatkan dan sangat dirasai semua pihak. Namun semua ini adalah ketentuan dari Allah سبحانه وتعالى

إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un
“Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.”


Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Muhammad Uthman… Semoga mereka dirahmati Allah سبحانه وتعالى dan  ditempatkan roh Allahyarham di kalangan golongan solehin dan orang-orang beriman…. Marilah kita sama-sama hadiahkan pahala bacaan Fatihah kepada Allahyarham


Semoga roh Allahyarham tenang bersemadi dan dicucuri rahmat Allah سبحانه وتعالى .

Aminnn..


No comments:

Post a Comment

Mungkin Anda Meminati Berikut

Artikel berkaitan