
Husnuzon
bermaksud bersangka baik kepada orang lain. Menganggap baik sesuatu perkara
sangat dituntut dalam Islam kerana bersangka baik ini lebih baik, mulia dan
dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan.
Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.telah berkata : “Jangan kamu
membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara
mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di
tempat yang baik.”
Firman Allah سبحانه وتعالى
:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ
ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب
بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ
ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka;
Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat
setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing
sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya
yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya
Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)
Fadhilat Bersangka Baik
Bersangka baik juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya.
Antaranya adalah:
1.
Mengelakkan
manusia dan ummah daripada berpecah-belah antara satu sama lain yang akan
merugikan masyarakat dan Negara bak kata pepatah ‘Mencegah Lebih Baik Dari
Mengubati’.
2.
Dapat
membersihkan hati dari titik-titik hitam dan mencegah perkara-perkara mungkar
dari terus bersarang di hati kita,
3.
Selalu
merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai orang lain walaupun diri sendiri
belum berjaya.
4.
Mewujudkan
sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang mempunyai
sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan
keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.
5.
Hubungan
persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas dari
bersangka buruk terhadap, maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan yang
baik-baik sahaja. Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu dan
dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia.
6.
Mengelakkan
daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana menuduh
manusia lain tanpa bukti yang kukuh. Firman Allah سبحانه
وتعالى :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ
بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا
بِجَهَٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ
“Wahai
orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu
berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara yang tidak diingini Dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu
telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat,
49; Ayat 6)
Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta
Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran yang berlaku disekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang ada pada mereka. Andai kata kita melihat atau ternampak orang yang melakukan dosa dan kemaksiatan, tetapi masih bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar itu, maka kita juga turut berkongsi saham dan tidak terlepas dari menanggung dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut.
Rasulullah ﷺ bersabda : “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran,
hendaklah ia mencegah dengan tangan (kekuasaan), jika ia tidak mampu, maka
dengan lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan
hatinya (berasa tidak senang, tidak setuju dan tidak meredhai). Dan itu adalah
selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Adalah jelas bahawa umat Islam tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan kemungkaran dan maksiat secara terang-terangan. kerana perkara tersebut jelas melanggar hukum dan larangan Allah. Contohnya apabila terlihat orang Islam bermain judi, atau membeli nombor ekor. Tetapi bersangka dalam hati, “Mungkin orang tersebut kesempitan wang… biarlah, dia juga nak cari rezeki...” Sepatutnya, kita haruslah mencegah kemungkaran itu, bukan meredhainya.
Firman Allah سبحانه وتعالى
:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ
وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا
“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui;
Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu
tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang
dilakukannya.” (Surah Al-Isra
17 ; Ayat 36)
No comments:
Post a Comment