Sunday, March 10, 2013

Kisah Pengusiran Bani Nadhir



Banu Nadhir merupakan salah satu kabilah terbesar dari ras (bangsa) Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab (Aus dan Khazraj) di kota Madinah. Setelah kedatangan Baginda S.A.W, mereka telah memeterai perjanjian dengan orang Islam sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian keamanan dan kerjasama yang disebut "Piagam Madinah" - Mithaaq al Madinah -. Namun tabiat khianat yang berakar umbi dalam jiwa Yahudi, mendorong mereka untuk melanggar perjanjian tersebut.

Sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah, sudah ada tiga kabilah besar bangsa Yahudi yang menetap di sana. Mereka adalah Bani Qainuqa', Bani Nadhir, dan Bani Quraizhah. Masing-masing kabilah ini mempunyai sekutu dari kalangan penduduk asli Madinah. Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir bersekutu dengan Khazraj, sedang-kan Bani Quraizhah menjadi sekutu Aus.

Setiap kali terjadi peperangan di antara mereka dengan sekutu masing-masing, orang-orang Yahudi mengancam kaum musyrikin (Aus dan Khazraj) ketika itu dengan mengatakan, "Sudah tiba masanya kedatangan Nabi kami. Dan kami akan memerangi kalian seperti memerangi 'Ad dan Iram."

Namun, tatkala Rasulullah S.A.W telah muncul dari kalangan Quraish, berimanlah Aus dan Khazraj, sementara orang-orang Yahudi justeru kafir kepada Baginda. Lalu turunlah firman Allah Taala :


"Dan setelah datang kepada mereka Al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, namun setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka ingkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu." - Surah Al-Baqarah:89


Rencana Keji Banu Nadhir Terhadap Rasulullah

Selepas peristiwa sedih yang menimpa umat Islam di Uhud, Banu Nadhir menjadi semakin angkuh dan berani membuat perancangan untuk menentang Rasulullah S.A.W secara diam-diam. Pemimpin Bani Nadhir, Ka'ab bin Asyraf keluar ke Makkah bersama-sama dengan 40 orang pengikutnya menemui Abu Sufian (yang menjadi pemimpin Makkah selepas kematian Abu Jahl). Pemergian mereka adalah bagi menyatakan kesediannya membantu Abu Sufian dalam memerangi Rasulullah S.A.W.

Penentangan Bani Nadhir semakin ketara ketika Rasulullah S.A.W dan beberapa orang sahabat pergi ke perkampungan mereka untuk membincangkan urusan diyat (tebusan) dua orang Bani Kilab yang dibunuh secara tidak sengaja oleh 'Amr bin Umayyah Ad-Dhamri di dalam peristiwa Bi'ru Ma'unah. Lalu orang-orang Bani Nadhir pun berkata,  "Kami akan bantu, wahai Abal Qasim (gelaran kepada Rasulullah), Duduklah di sini kami akan selesaikan keperluanmu!"

Baginda bersandar ke dinding rumah kaum itu. Tiba-tiba Banu Nadhir melakukan komplot jahat untuk membunuh Baginda dengan cara melontarkan batu dari atas rumah ke arah Baginda. 'Amru bin Jahash merupakan pemain utama komplot ini yang akan menjatuhkan batu ke atas kepala Rasulullah, dan Baginda S.A.W mengetahuinya melalui perantaraan Jibril. Lantas Baginda bingkas bangun dengan segera seolah-olah mempunyai sesuatu keperluan.

Tindakan Rasulullah itu menimbulkan tanda tanya kepada para sahabat, dan kemudian Bagindapun menceritakan rencana keji orang-orang Yahudi Bani Nadhir ke atasnya apabila sampai di Madinah. Kemudian Baginda mengutuskan Muhammad bin Maslamah kepada Bani Nadhir dan memberitahu, "Keluarlah dari negara kami. Jangan kamu tinggal di sini selama kamu membelot kami."

Melalui perutusan Muhammad bin Maslamah, Baginda S.A.W memberi tempoh 10 hari kepada Bani Nadhir untuk keluar dari kampung tersebut. Lantaran itu Bani Nadhir bersiap-siap untuk keluar dari kampung mereka ekoran amaran Rasulullah. Namun Abdullah bin Ubai, ketua golongan munafik mengutuskan utusannya, melarang Bani Nadhir keluar dan berjanji untuk menghantar 2,000 orang daripada kaumnya untuk mempertahankan mereka, "Janganlah kalian keluar. Kerana saat ini aku akan membantu kamu 2,000 pasukan yang bertahan bersama di benteng kalian ini. Mereka bersedia mati membela kalian termasuklah Bani Quraizhah serta para sekutu kalian dari Ghathafan tentu akan membela kalian."

Dan turunlah ayat Allah dari yang mendedahkan pembelaan Abdullah bin Ubai, si munafik kepada Bani Nadhir :

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta." - Surah Al Hasyr:11

Justeru itu, kaum Yahudi mengubah fikiran dari keluar meninggalkan kampung halaman kepada berkubu di dalamnya atas arahan Huyai bin Akhtab setelah percaya saranan Abdullah bin Ubai yang kononnya mahu membantu mereka. Huyai bin Akhtab menghantar utusan kepada Rasulullah S.A.W menyatakan, "Kami tidak akan keluar daripada kampung halaman kami. Buatlah apa yang kamu mahu."

Oleh kerana kedegilan itu, Baginda S.A.W bersama sahabatnya keluar memerangi mereka. Panji-panji Baginda telah dibawa oleh Ali bin Abi Talib dan apabila Banu Nadhir melihat tentera Rasulullah, mereka merejam anak panah dan batu ke arah tentera Islam. Bantuan yang dijanjikan kepada mereka oleh ketua munafik tidak sampai. Baginda S.A.W mengepung mereka, namun mereka tetap bertahan. Baginda terpaksa menebang pokok-pokok kurma mereka yang menjadi "rakan setia" kepada Banu Nadhir. Setelah itu, baharulah ketakutan menyeringai Banu Nadhir dan berkata, "Kami akan keluar dari negeri kamu..."

"Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik." - Surah Al Hasyr:5

Baginda S.A.W mengenakan syarat kepada mereka agar keluar tanpa membawa senjata. Mereka hanya dibenarkan keluar bersama harta mereka yang mampu dibawa oleh seekor unta. Baginda juga menjamin darah mereka akan terpelihara, tidak akan ditumpahkan walau setitik dengan syarat mereka tidak memulakan persengketaan dengan umat Islam.

Apabila Bani Nadhir mendengar syarat yang dikenakan Rasulullah itu, mereka mengambil segala benda yang boleh dibawa dan meruntuhkan rumah-rumah mereka agar orang Islam tidak dapat menggunakannya. Mereka berangkat keluar, sebahagian mereka berhenti menetap di Khaibar, 100 batu dari Madinah. Sementara sebahagian yang lain berhenti menetap di Jarsh, selatan Syam.


Menginsafi Kehinaan Bani Nadhir Di Dalam Surah Al Hasyr

Surah al-Hasyr telah diturunkan berkenaan pengusiran Bani Nadhir. Antaranya firman Allah Taala :
"Dia-lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkan-Nya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya."

"Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak."


"(Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amat-lah berat azab seksa-Nya." - Surah Al-Hasyr:2-4

Imam Bukhari dalam Sahih-nya (Kitab Al-Maghazi wa Tafsir Al-Quran) bahawa Sa'id bin Jubair berkata, "Aku berkata kepada Ibnu Abbas tentang Surah Al-Hasyr." Kata beliau, "Ia juga dikenal Surat An-Nadhir."


Sumber: tarbawi.my

No comments:

Post a Comment

Mungkin Anda Meminati Berikut

Artikel berkaitan