Sunday, March 24, 2013

ADAB MENGUAP

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Menguap merupakan ciri-ciri orang yang mengantuk. Adalah biasa bagi kita semua menguap. Sebenarnya ia merupakan gangguan syaitan yang menginginkan kita lalai dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Lebih-lebih lagi kalau kepenatan, membaca buku-buku ilmiah dan mendengar ceramah agama.

Tahukah anda bagaimana adab menguap dalam Islam?
Di sini ingin dikongsikan tips dari Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam untuk menangani gangguan syaitan yang menyerang melalui senjatanya “MENGUAP” hingga menyebabkan kita “MENGANTUK” .


Di antara adab menguap ialah seperti berikut:

1. Berusaha Sedaya Upaya Menahan Menguap

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam, bahwasanya Baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta'ala suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya mengucapkan 'Yarhamukallaah!'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila salah seorang dari kalian menguap dalam solatnya, hendaklah ia berusaha menahan menguapnya sedaya mampu kerana ia boleh menyebabkan syaitan masuk.” (Hadis riwayat. Muslim)


2. Menutup Mulut Dengan Tangan

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).” (Hadis Riwayat Muslim)  

Diriwayatkan juga oleh Muslim daripada Abu Said Al-Khudri r.a., katanya; Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka).”

Hendaklah kita menutup mulut (samada dengan tangan kiri atau kanan, depan atau belakang, kerana Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam tidak menetapkan mana2 bahagian), Kebanyakan ulama menghukumkan sunnat meletakkan tangan di mulut ketika menguap, sama ada di dalam solat ataupun di luarnya.


3. Elak Mengeluarkan Bunyi Ketika Menguap

Elak dari mengeluarkan bunyi “Haaaaaah” ketika menguap kerana apabila seseorang itu menguap sambil mengeluarkan bunyi, maka syaitan akan ketawa.

Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan At-Termizi daripada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam katanya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.”

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Menguap adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah (dari menguap) dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi “Haaa” maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


4. Makruh Menguatkan Suara Ketika Menguap

Elakkan juga daripada mengangkat suara ketika menguap.

Ibnu As-Sunni telah meriwayatkan pula daripada Abdullah bin Az-Zubair r.a., katanya: Telah bersabda Rasullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam: “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla membenci mengangkat suara ketika menguap dan bersin.”

Bahawasanya Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah menguap sama sekali, nescaya akan hilang perasaan hendak menguap itu dengan izin Allah.

Ada diriwayatkan iaitu apabila seseorang itu tidak dapat menahan menguap, lalu dia terkhayal dalam ingatannya. Dan apabila anda Berjaya menahannya pula, maka anda bebas dari gangguan syaitan, anda pasti dapat melaksanakan tanggungjawab anda dengan cemerlang….InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment

Mungkin Anda Meminati Berikut

Artikel berkaitan