Kedatangan 10 Zulhijah yang penuh kerahmatan, hendaklah disambut dengan berbanyak kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadat haji, dan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, mereka telah berjaya menunaikan puasa dari 1 – 9 Zulhijjah.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).
Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah pergandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.
Beberapa amalan yang dianjurkan bagi menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Aidiladha) adalah:-
SEBELUM 10 ZULHIJAH
- Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
- Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya Aidiladha.
- Bersederhana dalam persiapan menyambut raya bagi mengelakkan pembaziran.
PAGI 10 ZULHIJAH
- Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
- Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
- Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
- Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
- Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat Aidiladha.
- Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
- Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
- Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
- Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
- Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
- Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
- Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.
نَوَيْتُ الْغُسْلَ مِنْ يَوْمِ عِيدِ اْلاَضْحَى سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Daku berniat mandi sunat Aidiladha kerana Allah Ta’ala.
HARI RAYA KORBAN
Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.
1. Takbir
Suasana hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Korban ini hendaklah dihiasi dengan takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutama selepas setiap solat fardu.
.
Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).
.
Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.
اَللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ. ( × 5/3)
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.
Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.
2. Banyakkan membaca doa Nabi Yunus:
لآ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِيْنَ
Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.
Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, adakah doa ini hanya khusus untuk Nabi Yunus atau untuk orang mukmin secara umum?”
Rasulullah menjawab dengan firman Allah bermaksud: “Dan kami selamatkannya daripada kesusahan. Begitu jugalah kami akan menyelamatkan orang mukmin.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 88)
3. Berdoa Taubat
Perbanyakkan berdoa kehadrat Allah, terutama merayu kepada-Nya supaya Allah mengangkat kemarahan dan kemurkaan-Nya daripada kita.
Kita merayu kepada-Nya janganlah dibalas jika kita terlupa atau tersilap. Merayu kepada-Nya agar Dia tidak menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul.
Merayulah kepada Allah, agar Dia memaaf, mengampun dan mengasihi kita. Dialah pelindung dan Dialah yang akan memberi kemenangan kepada kita.
4. Solat Sunat Aidiladha
Solat Sunat Aidiladha dua rakaat adalah sunat muaakkad, yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji, di Tanah Suci Mekah.
5. Ibadah Korban
Aidiladha disebut juga Hari Raya Korban. Kata `Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata `dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.” Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.
Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
HIKMAH AIDILADHA
- Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
- Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.
.
.
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
.
No comments:
Post a Comment